Jumaat, 4 September 2015

ORANG-MUDA-DISERANG- SAKIT-JANTUNG


PUTRAJAYA 22 Feb. - Lebih ramai golongan muda yang berumur lingkungan 20-an kini dikesan menghidap penyakit jantung berikutan amalan pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.

Ketua Pengarah Institut Jantung Negara (IJN), Tan Sri Dr. Robaayah Zambahari berkata, gaya hidup masa kini yang semakin sibuk dan kurang melakukan senaman menyebabkan penyakit pembunuh senyap nombor satu dalam negara itu menyerang golongan muda.

Beliau berkata, mengikut data pendaftaran nasional kardiovaskular pula hampir separuh kes kemasukan ke hospital yang melibatkan individu berumur 40 hingga 60 tahun disebabkan masalah jantung.

"Kadar populasi pesakit jantung semakin muda dan dapat dikesan seawal umur 26 tahun bagaimanapun, golongan berumur antara 40 hingga 60 tahun paling banyak dikesan menghidap penyakit ini iaitu sebanyak 49 peratus daripada keseluruhan kes yang dirawat di hospital.

"Manakala data dari Kementerian Kesihatan pula menunjukkan hampir 25 peratus sebab utama kes kematian di hospital kerajaan adalah berpunca daripada penyakit kardiovaskular iaitu jantung dan pengedaran darah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program larian Run for Your Heart 2014 di Taman Wetland di sini hari ini.

Larian sejauh lapan kilometer itu yang bertemakan gaya hidup sihat dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Menurut Robaayah, bagi mencegah penyakit tersebut menyerang, orang ramai perlu mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam dan mengelak daripada merokok.

Pada masa sama, katanya, langkah pencegahan juga boleh diambil dengan menjaga berat badan, memeriksa tekanan darah, mengawal kadar kolestrol dan kencing manis.

Sementara itu, mengulas program larian itu, beliau berkata, selain larian pihaknya juga menganjurkan pelbagai aktiviti lain seperti ujian saringan kesihatan percuma melibatkan ujian paras gula, tekanan darah, indeks jisim badan (BMI) dan ujian elektrokardiogram (ECG).



Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
pengarang@utusan.com.my

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan