Khamis, 28 Mei 2015

HIPOGLISEMIA / KURANG GULA


Hipoglisemia? Kurang Gula? – Dr. Nur Hidayati


Apakah itu hipoglisemia?
Hipoglisemia bermaksud kejadian di mana individu mengalami tanda dan simptom yang berkaitan hipoglisemia dan pada waktu kejadian berlaku, paras gula dalam darah dikesan sebagai rendah. Tanda dan simptom hipoglisemia ini akan hilang apabila paras gula dinaikkan ke paras normal.

Hipoglisemia boleh terjadi apabila paras gula mencecah bawah 3.9 mmol/L (60 or 70 mg/dL) tapi seringkali individu hanya merasa simptom apabila mencapai aras 2.8 hingga 3.0 mmol/L (50 to 54 mg/dL).

Untuk pesakit yang menghidapi kencing manis, hipoglisemia boleh berlaku akibat ubat-ubatan kencing manis seperti insulin atau sulfonilurea. Untuk individu yang tidak menghidapi kencing manis, hipoglisemia merujuk kepada tahap gula yang rendah hingga menimbulkan tanda dan simptom kepada individu tersebut.

Apakah tanda-tandanya?
  1. Jantung rasa berdebar-debar
  2. Kepenatan
  3. Penglihatan kabur atau mengalami perubahan visual seperti aura atau kilat
  4. Tidak mampu untuk memberikan perhatian penuh pada pekerjaan
  5. Berpeluh
  6. Rasa menggigil
  7. Sakit kepala
  8. Kulit menjadi pucat dan sejuk
  9. Pertuturan menjadi tidak jelas
  10. Untuk hipoglisemia yang serius, individu itu boleh menjadi tidak sedarkan diri atau mengalami sawan
Jika anda menunjukkan mana-mana tanda yang disebut di atas, sila periksa aras gula dalam darah anda menggunakan mesin glukometer.
Jika anda sering mengalami kejadian hipoglisemia, anda perlu merujuk kepada doktor anda untuk mengubah dos ubatan anda

Mengapa hipoglisemia terjadi?
Ada banyak sebab hipoglisemia boleh terjadi. Untuk memahami bagaimana hipoglisemia terjadi, kita perlu memahami bagaimana badan kita mengawal kadar gula dalam badan. Sel badan kita memerlukan gula untuk menjana tenaga untuk berfungsi dengan baik. Dalam badan individu yang normal, badan kita menguraikan gula daripada makanan berasaskan karbohidrat seperti nasi, pasta, sayuran, roti dan buahan. Gula ini akan diserap ke dalam darah selepas makanan dicernakan.

Apabila aras gula dalam darah meninggi, kelenjar pankreas dalam badan kita akan merembeskan hormon insulin untuk mengawal aras gula supaya ia tidak menjadi terlalu tinggi. Hormon insulin akan bekerja untuk menyimpan gula yang berlebihan dalam hati dan otot dalam bentuk glikogen. Hormon insulin juga menggalakkan gula dalam darah lebih senang diserap oleh sel badan yang berkerja.

Apabila kita berpuasa atau tidak makan dalam jangka masa yang lama, aras gula dalam darah menurun. Apabila aras gula menurun – kelenjar pankreas akan merembeskan hormon glukagon yang akan membebaskan gula daripada glikogen yang tersimpan di hati dan otot. Dalam badan individu normal, hormon insulin dan glukagon ini akan bekerjasama untuk mengawal aras gula dalam darah pada aras yang optimum.

Dalam individu menghidap kencing manis, ini tidak berlaku. Kelenjar pakreas mereka kurang merembeskan hormon insulin – menyebabkan aras gula meninggi secara tidak terkawal. Akibat kencing manis juga, sel badan mereka menjadi kebal terhadap hormon insulin menyebabkan sel badan tidak dapat menggunakan gula dalam darah apabila ia memerlukannya.

Atas sebab ini, pesakit kencing manis perlu mengambil ubatan untuk meningkatkan kandungan insulin dalam darah. Aras gula harian kita berubah mengikut apa yang kita makan dan keadaan badan kita. Jika kita tidak menyelaraskan dos ubatan mengikut perubahan aras gula dalam darah kita, aras gula kita boleh menurun secara mendadak menyebabkan kejadian hipoglisemia.

Bagi individu yang menghidapi kencing manis, hipoglisemia boleh berlaku apabila mereka mengalami jangkitan kuman, mengalami kegagalan buah pinggang, apabila menukar dos atau jenis ubat, terlebih dos insulin secara tidak sengaja, tidak mengurangkan dos ubatan apabila berpuasa dan sebagainya.

Bagaimana mengelakkan hipoglisemia dari terjadi?
Kita boleh mengelakkan hipoglisemia dari terjadi dengan memantau dan mencatat aras gula harian kita dengan mesin glukometer. Rekod ini dipanggil sebagai SMBG (Self Monitoring Blood Glucose). Catatan aras gula ini perlu disimpan dan di tunjukkan kepada pihak dotor apabila pesakit mendapatkan rawatan susulan.

Dengan rekod aras gula dalam darah harian, doktor mampu menetapkan dos ubat kencing manis yang betul untuk mereka. Dos ubatan kencing manis tidak sama untuk semua individu. Malah, dos ubatan kencing manis untuk seorang pesakit berubah mengikut masa, keadaan buah pinggang dan tahap umur pesakit itu. Oleh itu, pesakit dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor untuk rawatan susulan yang kerap secara tetap supaya dos ubatan dapat disesuaikan dengan aras gula dalam badan.

Seorang pesakit kencing manis dengan nasihat dan bimbingan profesional perubatan seperti doktor, jururawat dan pakar diet mampu untuk mengawal aras gula mereka sendiri.

Perkara yang perlu dilakukan jika hipoglisemia terjadi
Apabila anda atau ahli keluarga anda mengalami tanda hipoglisemia, anda disarankan untuk mengambil 15-20 gram gula glukos atau karbohidrat ringkas. Gula glukos yang boleh digunakan antaranya:
  1. Tablet glukos
  2. Pil atau gel gula
  3. 2 sudu kismis/ sebiji kurma
  4. 1/2 cawan jus
  5. 1 sudu gula atau madu
  6. Gula-gula kecil berbentuk keras seperti jellybeans atau coklat
15 minit selepas mengambil gula, sila periksa kembali aras gula anda. Jika masih rendah, perlu ambil gula sekali lagi dan periksa aras gula dalam darah selepas 15 minit. Ulang sehingga aras normal.  Apabila aras gula menjadi normal,  sila makan sedikit snek jika masa makan anda lebih daripada 1-2 jam selepas daripada masa kejadian

Jika anda atau ahli keluarga anda mengalami kejadian hipoglisemia serius sehingga tidak sedarkan diri atau mengalami sawan, perlu segera ke hospital untuk mendapat rawatan kecemasan. Di hospital, doktor boleh memasukkan cecair gula (dextrose) ke dalam aliran darah untuk menaikkan aras gula ke aras normal. Selepas itu, pesakit perlu menjalani pemerhatian dan siasatan untuk mengenalpasti punca kenapa mereka mengalami kejadian hipoglisemia.

Jika anda atau ahli keluarga anda sering mengalami kejadian hipoglisemia yang serius hingga tidak sedarkan diri, anda juga boleh berbincang dengan doktor anda jika anda perlu menyimpan ubatan glukagon di rumah untuk digunakan semasa kejadian hipoglisemia yang serius. Ini kerana jika tidak dirawat dengan pantas, keadaan hipoglisemia ini boleh memberi kesan buruk terhadap otak hingga boleh menyebabkan kecederaan kekal pada otak atau jarang sekali, kematian.

Suntikan glukagon boleh digunakan oleh ahli keluarga atau individu terdekat dengan pesakit apabila pesakit kencing manis menjadi tidak sedar diri akibat aras gula yang rendah. Ini kerana apabila pesakit kencing manis menjadi tidak sedar, mereka tidak boleh menelan air gula atau menghisap gula-gula kerana risiko tercekik. Dalam keadaan ini, ahli keluarga atau individu terdekat boleh memberi suntikan glukagon pada punggung, peha atau lengan pesakit (seperti yang tertera dalam panduan ubatan oleh pengeluar). Apabila pesakit sedar, mereka mungkin akan merasa loya. Dinasihatkan selepas pesakit sedar, sila bawa pesakit ke hospital untuk pemerhatian dan rawatan selanjutnya.

Gambar : http://jabamal.wordpress.com/
Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Nur Hidayati, seorang doktor perubatan dalaman yang bertugas di sebuah hospital di Selangor. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
Rujukan
  • http://www.diabetes.org/living-with-diabetes/treatment-and-care/blood-glucose-control/hypoglycemia-low-blood.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan