Khamis, 4 Jun 2015

MENGIRA WAKTU SUBUR

Haid yang tidak teratur sering dianggap sebagai salah satu punca wanita sukar hamil kerana waktu subur sukar ditentukan. Umum sering menganggap kitaran haid normal ialah setiap 28 hari. Hakikatnya, kitaran haid yang lazim adalah di antara 25 hingga 35 hari!


Waktu ovulasi adalah waktu paling subur. Jika kitaran haid wanita adalah setiap 28 hari, waktu ovulasinya adalah pada hari ke – 14 (28 tolak 14). Bagi wanita yang kitaran haidnya 35 hari, waktu ovulasinya adalah pada hari ke-21 (35 tolak 14).

Ada wanita yang menyangka jika haid mereka datang pada setiap haribulan yang sama, maka kitaran haidnya adalah tetap! Ini satu tanggapan yang tidak tepat kerana ada bulan yang tidak tepat kerana ada bulan yang mempunyai 30, 31, 28 atau 29 hari. Sebaik-baiknya wanita mencatat hari pertama haid setiap kitaran selama enam bulan untuk mengetahui jumlah hari kitaran paling pendek dan paling panjang.

Berikut adalah maklumat mengenai kitaran haid dan waktu subur anda:

Paling subur
  • Dari 72 jam (tiga hari) sebelum ovulasi sehingga 24 jam selepas ovulasi. Jika sperma ada di dalam tiub Falopio dari 72 jam sebelum ovulasi pun, persenyawaan masih boleh berlaku kerana hayat sperma masih ada.

Waktu berjaga-jaga
  • Dalam tempoh lima hari sebelum ovulasi sehingga dua hari selepas ovulasi. Ovulasi  masih boleh berlaku (bukannya tepat) sekitar 14 hari sebelum jangkaan.

Paling kurang subur
  • Lebih lima hari sebelum ovulasi atau lebih dua hari selepas ovulasi.

Cara lain untuk mengetahui waktu subur adalah berdasarkan perubahan ciri-ciri lendir dalam fasa proliferatif. Lendir ini bertukar menjadi lebih jernih dan cair  seperti putih telur yang masih mentah bagi memudahkan sperma menembusinya sewaktu sperma berenang memasuki ruang rahim dan seterusnya ke tiub Falopia untuk mensenyawakan telur. Semakin banyak kantung telur membesar, semakin banyak lendir yang keluar sehingga membasahi seluar dalam. Selepas ovulasi, peningkatan paras hormon progesteron menyebabkan lendir ini bertukar pekat keputihan dan kental bagi menyekat pergerakan sperma-sperma baru.

Sedikit kesakitan mungkin dialami segolongan wanita sewaktu ovulasi. Perkara ini tertumpu di bahagian bawah abdomen sama ada kanan atau kiri dan boleh menjalar sehingga ke kawasan pusat. Sakit ini dikenali sebagai ‘mittelschmertz’.

Tanpa kesakitan ini, tidak bermakna seseorang wanita tidak mengalami ovulasi pada bulan tersebut.

Rujukan :
Oleh:Imah Mingguan Wanita
http://mingguanwanita.karangkraf.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan