Ahad, 31 Mei 2015

HOME BIRTH

Melahirkan anak di rumah bukanlah suatu yang luar biasa di beberapa kawasan di negara kita. Proses kelahiran sebegini sudah diamalkan oleh bidan kampung dan pembantu kelahiran tidak terlatih berkurun lamanya, sejak sebelum wujudnya kemudahan perubatan moden dan hospital. Namun, dengan kemajuan dalam sistem penjagaan kesihatan bagi wanita hamil, komplikasi teruk yang boleh mengakibatkan kematian ibu dan kematian bayi dalam kandungan telah berjaya dikurangkan.

Tetapi, mengapa masih ada di kalangan wanita yang tertarik untuk melahirkan anak di rumah sedangkan mereka mempunyai kemudahan untuk pergi ke hospital? Apa yang lebih mengejutkan adalah majoriti wanita-wanita ini memiliki pendidikan formal. Ini tidak termasuk mereka yang melahirkan di rumah kerana kehamilan yang tidak dirancang. Antara alasannya adalah: 
  • Berasa mudah mengawal diri dan lebih berpuas hati dengan kelahiran di rumah.
  • Kepercayaan agama yang hanya mahukan pembantu kelahiran wanita.
  • Bagi mengelak prosedur yang dirasakan tidak perlu, seperti penggunaan alatan bantuan kelahiran semasa kelahiran ataupun pembedahan caesarean.
  • Untuk mendapatkan pengalaman kelahiran yang lebih semula jadi, tanpa pengambilan dadah atau analgesia.
Di negara-negara tertentu seperti United Kingdom (UK), kelahiran di rumah adalah dibenarkan untuk kehamilan berisiko rendah selepas kaunseling sewajarnya diberikan semasa pemeriksaan kehamilan susulan. Kelahiran di rumah adalah salah satu kebiasaan mereka kerana bilangan bidan terlatih dan bertauliah adalah mencukupi bagi menjaga wanita-wanita hamil di kawasan-kawasan yang tertentu. Akses khidmat komunikasi yang baik, jarak rumah yang dekat dengan hospital setempat, dan bidan berpengalaman yang telah menerima akreditasi dari kolej-kolej perbidanan di UK menjadikan perkhidmatan ini tersedia di kawasan mereka.

“Dahulu, nenek kita semua bersalin secara normal di kampung. Tidak perlu pergi ke hospital pun.”

Kenyataan sebegitu adalah antara yang biasa kita dengar, terutamanya daripada warga tua di sesebuah komuniti. Saya bersetuju dengan kata-kata tersebut, tetapi kita perlu ingat bahawa terdapat kadar kematian yang tinggi di kalangan ibu dan bayi semasa kelahiran pada masa dulu. Kebanyakannya tidak dilaporkan pada masa tersebut dan disembunyikan daripada kita. Kanak-kanak kurang upaya lahir kerana kecederaan otak yang tidak dikenal pasti atau kekurangan oksigen semasa kelahiran adalah antara komplikasi-komplikasi kelahiran yang bermasalah.
Sumber: www.panoramio.com

Sumber: www.panoramio.com




Jadi, adakah Malaysia sudah bersedia dengan perkhidmatan kelahiran di rumah? Pada pendapat saya, belum lagi. Masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki sebelum ia dapat dilaksanakan di negara kita.
  • Pendarahan teruk selepas bersalin masih menjadi penyebab umum kematian ibu di seluruh dunia dan kita sedang berusaha mengurangkan jumlah insiden ini. Beberapa kes kematian ibu di kawasan luar bandar yang disebabkan oleh situasi ini masih kurang dilaporkan.
  • Pihak kerajaan sedang membina lebih banyak hospital dan klinik daerah di kawasan luar bandar bagi mendapatkan akses yang lebih baik untuk perkhidmatan kesihatan. Bagi pesakit-pesakit yang mempunyai masalah logistik dan kehamilan berisiko tinggi, mereka dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan perubatan lebih awal agar rujukan segera ke hospital terdekat dapat dilakukan.
  • Tiada pemantauan dapat dilakukan semasa kelahiran di rumah. Adanya cardiotocograph, sebuah alat bagi memantau jantung janin dapat mengesan early hypoxic insult  (merujuk kepada keadaan di mana tubuh atau satu bahagian di tubuh mengalami kekurangan bekalan oksigen) pada bayi semasa proses kelahiran dan bersalin. Intra uterine death (istilah klinikal bagi kematian bayi di dalam uterus, semasa kehamilan dan sebelum kelahiran) dan lain-lain kecederaan otak boleh berlaku tanpa pengesanan seperti ini semasa kelahiran di rumah.
  • Kelahiran di rumah hanya dibenarkan bagi wanita-wanita hamil berisiko rendah yang mempunyai akses cepat ke hospital berhampiran.
  • Apabila bayi menangis selepas dilahirkan, ia adalah petunjuk bahawa bayi dapat bernafas. Terdapat keadaan tertentu di mana bayi mengalami kesukaran untuk bernafas kerana meconium atau bayi membuang air besar di dalam rahim semasa proses kelahiran, yang tersekat di dalam tekak bayi ataupun sistem pernafasannya. Kes-kes seperti ini perlu ditangani oleh pakar kanak-kanak (seorang pengamal perubatan khusus untuk kanak-kanak dan penyakit mereka) supaya rawatan segera dapat dilakukan bagi membolehkan pernafasan. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan masalah pernafasan pada bayi dan memerlukan bantuan mesin pernafasan.
  • Bilangan bidan terlatih yang bertauliah tidak mencukupi bagi merawat suatu populasi atau pada kawasan tertentu. Selain itu, bilangan doktor wanita atau doktor kehamilan juga tidak mencukupi bagi menangani kelahiran di rumah.
  • Bagi kehamilan yang tidak dirancang, mereka dinasihatkan supaya membuat temujanji di klinik berhampiran tanpa perlu dihukum atau dimarahi oleh kakitangan klinik. Dengan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan tanpa prasangka untuk ibu tunggal, kita dapat membantu mereka menghindari bahaya yang tidak diingini semasa kelahiran di rumah.
  • Kelahiran di rumah tanpa pembantu kelahiran terlatih tentunya menjadi satu tindakan berbahaya yang dapat mengancam nyawa ibu dan bayi. Apa sahaja boleh berlaku semasa dan selepas kelahiran, yang tidak pernah kita bayangkan termasuklah tidak sedarkan diri dan seterusnya kematian sekiranya petunjuk dan simptom tidak dikesan lebih awal.
Pihak hospital sedang berusaha memperbaiki perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan, seperti menyediakan hospital mesra suami dan epidural anelgesia bagi memastikan proses kelahiran menjadi pengalaman yang menyenangkan untuk para pesakit. Keselamatan pesakit adalah keutamaan kami selain berusaha menghormati permintaan tertentu daripada pesakit. Mungkin, suatu hari nanti, Malaysia akan bersedia untuk perkhidmatan kelahiran di rumah tetapi buat masa kini, masanya belum tiba lagi. Bagi ibu-ibu yang mahu berbincang tentang perkara ini, mereka digalakkan supaya berjumpa dengan penyedia penjagaan kesihatan setempat.

Kami menginginkan agar proses kelahiran menjadi satu kenangan terindah dan paling bahagia dalam hidup anda. Usah biarkan ia menjadi suatu tragedi dalam hidup kita.

Dr. Mardiana Kipli M.D. (UNIMAS) merupakan seorang Pegawai Perubatan tahun akhir  bagi Sarjana Perbidanan dan Sakit Puan (Masters in Obstetric & Gynaecology) yang sedang berkhidmat di Kuching. Artikel ini diterjemah oleh Faslin Syarina Salim. Artikel asal boleh didapati di sini.
Rujukan:
  • Royal College of Obstetricians and Gynaecologist/Royal Collage of Midwives Joint statement. Home Birth; 2007

Tiada ulasan:

Catat Ulasan