Memaparkan catatan dengan label insulin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label insulin. Papar semua catatan

Selasa, 2 Jun 2015

DUGAAN SEMASA HAMIL

Sejak isteri tercinta disahkan hamil, orang paling gembira adalah suami.  Lebih-lebih lagi, bila pasangan tersebut sudah lama menunggu.  Dari awal kehamilan, dijaga dengan elok agar isteri dan bakal anak yang masih berada dalam kandungan mendapat keperluan yang terbaik.    
Tetapi, ujian dari Allah itu tetap ada untuk setiap ibu hamil.  Paling sikit pun mengalami alahan seperti muntah, demam dan tak lalu menjamah makanan hingga seberat-berat dugaan, mungkin mengalami keguguran atau mendapat penyakit seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi. 

Dalam ruangan ini, YUZI VITAMINS SHOP akan menekankan kepada penyakit ketika hamil yang amat perlu pemerhatian khusus.

BATUK & SELSEMA SEMASA HAMIL

Bila disahkan hamil, macam-macam ragam bakal ibu ni mengalami alahan. Yang pelik-pelik pun ada. hihi. Tapi bila bab alahan sampai demam, selsema dan batuk tu la yang paling berbisa. Sebab ape, badan super duper lemah tak bermaya, silap haribulan, terlantar berbaring je atas katil. 

Tanda-tanda awal sistem badan ditahap paling rendah :
1. Sakit tekak
2. Badan merasa seram sejuk (hampir-hampir demam)
3. bersin dengan kerap (hampir-hampir selsema)
4. Kerap batuk

Ala ... ibu hamil mana boleh makan ubat sebarangan kan. Hurmm ... macamana ye nak atasi bila kita dah tak tahan sangat menanggung sakit.  Makan ubat nanti, efek kat baby pulak. NNti bila baby lahir, takut ada masalah kesihatan kesan dari pengambilan ubat tersebut.

Insya Allah, ni tips saya & kawan-kawan semasa hamil. Bakal-bakal ibu boleh amalkan sepanjang kehamilan.

1. Wajib ambil air masak secukupnya. 8 gelas sehari. lebih lagi bagus. Mudahan, panas dalam badan tu menurun k

2. Banyakkan makan sayur dan buah-buahan segar. Cuba elakkan ambil minuman jus dalam kotak sbb minuman tersebut mengandungi kandungan gula yang tinggi.  Cuba blend buah-buahan buat jus shake.

3. Ambil suppliment 
- Multivitamin (Vitalea) : mengandungi vitamin dan mineral yang amat diperlukan oleh tubuh. Pengambilan secara konsisten, boleh meningkatkan sistem imun tubuh melawan penyakit secara semulajadi.
-   Vitamin C : Bersifat antioksidan dalam melawan penyakit.  Meningkatkan sistem imun tubuh untuk meredakan demam dan selsema. 
- Chewable vitamin C : Kalau yang rasa mual-mual nak muntah, boleh amalkan Chewable vitamin c. Rasanya agak masam-masam akan melegakan tekak ibu hamil
- Peppermint-ginger plus : Jika ibu hamil ada masalah badan berangin dan kerap muntah, boleh amalkan suppliment ini. Insya Allah, boleh meredakan muntah dan membuang angin.
- B complex : Baik untuk ibu hamil untuk bekalan darah yang mencukupi. Keperluan janin untuk berkembang dengan sempurna.

PENYAKIT KENCING MANIS/DEABETIS

Sesiapa sahaja ibu hamil harus mengambil berat keadaan diri dari masa ke semasa jika disahkan menghidap kencing manis semasa hamil.  Seawal 20 minggu kehamilan, ibu hamil wajib untuk mengambil ujian gula dalam darah (ogtt).

Ibu hamil terpaksa berpuasa seawal 10mlm sebelum ujian ogtt dilakukan keesokan paginya.  Di klinik, ujian darah diambil. Selepas itu, ibu hamil terpaksa meminum air gula. Selepas 2jam, ujian darah akan diambil sekali lagi. Darah yang telah diambil akan di uji di makmal untuk mengetahui paras gula dalam darah ibu.  

Bacaan normal sebelum minum air gula : 5.6mmol/liter
Bacaan normal selepas minum air gula : 7.8mmol/liter

Jika keputusan ogtt ibu hamil tersebut melebihi bacaan normal, ibu hamil dikehendaki berjumpa doktor untuk pemeriksaan lebih lanjut. 

Diabetis semasa hamil boleh mengakibatkan komplikasi buah pinggang, strok, mata buta, lemah jantung, luka sukar sembuh.  Bayi dalam rahim pula mungkin berisiko untuk cacat.  

Oleh itu, jika disahkan menghidap diabetis, ibu hamil tersebut akan diberi ubat tertentu/ suntikan insulin untuk mengawal paras gula dalam darah.  Jika masih tidak dapat dikawal, ibu hamil dipaksa untuk memasuki wad untuk kawalan dan pemantauan. 

Proses kelahiran juga harus diawalkan (38minggu). Ianya untuk mengelakkan komplikasi berlaku, iaitu kemungkinan bayi terlebih besar atau bayi meninggal dalam kandungan akibat plasenta tidak berfungsi.

Artikel menarik
1. anemia menyerang
2. Kecacatan tulang belakang : spina bifida
3. Bersenam semasa hamil
4. Pemakanan ibu hamil

Lampiran
http://drzubaidi.com/blog

Khamis, 28 Mei 2015

HIPOGLISEMIA / KURANG GULA


Hipoglisemia? Kurang Gula? – Dr. Nur Hidayati


Apakah itu hipoglisemia?
Hipoglisemia bermaksud kejadian di mana individu mengalami tanda dan simptom yang berkaitan hipoglisemia dan pada waktu kejadian berlaku, paras gula dalam darah dikesan sebagai rendah. Tanda dan simptom hipoglisemia ini akan hilang apabila paras gula dinaikkan ke paras normal.

Hipoglisemia boleh terjadi apabila paras gula mencecah bawah 3.9 mmol/L (60 or 70 mg/dL) tapi seringkali individu hanya merasa simptom apabila mencapai aras 2.8 hingga 3.0 mmol/L (50 to 54 mg/dL).

Untuk pesakit yang menghidapi kencing manis, hipoglisemia boleh berlaku akibat ubat-ubatan kencing manis seperti insulin atau sulfonilurea. Untuk individu yang tidak menghidapi kencing manis, hipoglisemia merujuk kepada tahap gula yang rendah hingga menimbulkan tanda dan simptom kepada individu tersebut.

Apakah tanda-tandanya?
  1. Jantung rasa berdebar-debar
  2. Kepenatan
  3. Penglihatan kabur atau mengalami perubahan visual seperti aura atau kilat
  4. Tidak mampu untuk memberikan perhatian penuh pada pekerjaan
  5. Berpeluh
  6. Rasa menggigil
  7. Sakit kepala
  8. Kulit menjadi pucat dan sejuk
  9. Pertuturan menjadi tidak jelas
  10. Untuk hipoglisemia yang serius, individu itu boleh menjadi tidak sedarkan diri atau mengalami sawan
Jika anda menunjukkan mana-mana tanda yang disebut di atas, sila periksa aras gula dalam darah anda menggunakan mesin glukometer.
Jika anda sering mengalami kejadian hipoglisemia, anda perlu merujuk kepada doktor anda untuk mengubah dos ubatan anda

Mengapa hipoglisemia terjadi?
Ada banyak sebab hipoglisemia boleh terjadi. Untuk memahami bagaimana hipoglisemia terjadi, kita perlu memahami bagaimana badan kita mengawal kadar gula dalam badan. Sel badan kita memerlukan gula untuk menjana tenaga untuk berfungsi dengan baik. Dalam badan individu yang normal, badan kita menguraikan gula daripada makanan berasaskan karbohidrat seperti nasi, pasta, sayuran, roti dan buahan. Gula ini akan diserap ke dalam darah selepas makanan dicernakan.

Apabila aras gula dalam darah meninggi, kelenjar pankreas dalam badan kita akan merembeskan hormon insulin untuk mengawal aras gula supaya ia tidak menjadi terlalu tinggi. Hormon insulin akan bekerja untuk menyimpan gula yang berlebihan dalam hati dan otot dalam bentuk glikogen. Hormon insulin juga menggalakkan gula dalam darah lebih senang diserap oleh sel badan yang berkerja.

Apabila kita berpuasa atau tidak makan dalam jangka masa yang lama, aras gula dalam darah menurun. Apabila aras gula menurun – kelenjar pankreas akan merembeskan hormon glukagon yang akan membebaskan gula daripada glikogen yang tersimpan di hati dan otot. Dalam badan individu normal, hormon insulin dan glukagon ini akan bekerjasama untuk mengawal aras gula dalam darah pada aras yang optimum.

Dalam individu menghidap kencing manis, ini tidak berlaku. Kelenjar pakreas mereka kurang merembeskan hormon insulin – menyebabkan aras gula meninggi secara tidak terkawal. Akibat kencing manis juga, sel badan mereka menjadi kebal terhadap hormon insulin menyebabkan sel badan tidak dapat menggunakan gula dalam darah apabila ia memerlukannya.

Atas sebab ini, pesakit kencing manis perlu mengambil ubatan untuk meningkatkan kandungan insulin dalam darah. Aras gula harian kita berubah mengikut apa yang kita makan dan keadaan badan kita. Jika kita tidak menyelaraskan dos ubatan mengikut perubahan aras gula dalam darah kita, aras gula kita boleh menurun secara mendadak menyebabkan kejadian hipoglisemia.

Bagi individu yang menghidapi kencing manis, hipoglisemia boleh berlaku apabila mereka mengalami jangkitan kuman, mengalami kegagalan buah pinggang, apabila menukar dos atau jenis ubat, terlebih dos insulin secara tidak sengaja, tidak mengurangkan dos ubatan apabila berpuasa dan sebagainya.

Bagaimana mengelakkan hipoglisemia dari terjadi?
Kita boleh mengelakkan hipoglisemia dari terjadi dengan memantau dan mencatat aras gula harian kita dengan mesin glukometer. Rekod ini dipanggil sebagai SMBG (Self Monitoring Blood Glucose). Catatan aras gula ini perlu disimpan dan di tunjukkan kepada pihak dotor apabila pesakit mendapatkan rawatan susulan.

Dengan rekod aras gula dalam darah harian, doktor mampu menetapkan dos ubat kencing manis yang betul untuk mereka. Dos ubatan kencing manis tidak sama untuk semua individu. Malah, dos ubatan kencing manis untuk seorang pesakit berubah mengikut masa, keadaan buah pinggang dan tahap umur pesakit itu. Oleh itu, pesakit dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor untuk rawatan susulan yang kerap secara tetap supaya dos ubatan dapat disesuaikan dengan aras gula dalam badan.

Seorang pesakit kencing manis dengan nasihat dan bimbingan profesional perubatan seperti doktor, jururawat dan pakar diet mampu untuk mengawal aras gula mereka sendiri.

Perkara yang perlu dilakukan jika hipoglisemia terjadi
Apabila anda atau ahli keluarga anda mengalami tanda hipoglisemia, anda disarankan untuk mengambil 15-20 gram gula glukos atau karbohidrat ringkas. Gula glukos yang boleh digunakan antaranya:
  1. Tablet glukos
  2. Pil atau gel gula
  3. 2 sudu kismis/ sebiji kurma
  4. 1/2 cawan jus
  5. 1 sudu gula atau madu
  6. Gula-gula kecil berbentuk keras seperti jellybeans atau coklat
15 minit selepas mengambil gula, sila periksa kembali aras gula anda. Jika masih rendah, perlu ambil gula sekali lagi dan periksa aras gula dalam darah selepas 15 minit. Ulang sehingga aras normal.  Apabila aras gula menjadi normal,  sila makan sedikit snek jika masa makan anda lebih daripada 1-2 jam selepas daripada masa kejadian

Jika anda atau ahli keluarga anda mengalami kejadian hipoglisemia serius sehingga tidak sedarkan diri atau mengalami sawan, perlu segera ke hospital untuk mendapat rawatan kecemasan. Di hospital, doktor boleh memasukkan cecair gula (dextrose) ke dalam aliran darah untuk menaikkan aras gula ke aras normal. Selepas itu, pesakit perlu menjalani pemerhatian dan siasatan untuk mengenalpasti punca kenapa mereka mengalami kejadian hipoglisemia.

Jika anda atau ahli keluarga anda sering mengalami kejadian hipoglisemia yang serius hingga tidak sedarkan diri, anda juga boleh berbincang dengan doktor anda jika anda perlu menyimpan ubatan glukagon di rumah untuk digunakan semasa kejadian hipoglisemia yang serius. Ini kerana jika tidak dirawat dengan pantas, keadaan hipoglisemia ini boleh memberi kesan buruk terhadap otak hingga boleh menyebabkan kecederaan kekal pada otak atau jarang sekali, kematian.

Suntikan glukagon boleh digunakan oleh ahli keluarga atau individu terdekat dengan pesakit apabila pesakit kencing manis menjadi tidak sedar diri akibat aras gula yang rendah. Ini kerana apabila pesakit kencing manis menjadi tidak sedar, mereka tidak boleh menelan air gula atau menghisap gula-gula kerana risiko tercekik. Dalam keadaan ini, ahli keluarga atau individu terdekat boleh memberi suntikan glukagon pada punggung, peha atau lengan pesakit (seperti yang tertera dalam panduan ubatan oleh pengeluar). Apabila pesakit sedar, mereka mungkin akan merasa loya. Dinasihatkan selepas pesakit sedar, sila bawa pesakit ke hospital untuk pemerhatian dan rawatan selanjutnya.

Gambar : http://jabamal.wordpress.com/
Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Nur Hidayati, seorang doktor perubatan dalaman yang bertugas di sebuah hospital di Selangor. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
Rujukan
  • http://www.diabetes.org/living-with-diabetes/treatment-and-care/blood-glucose-control/hypoglycemia-low-blood.html